~Kekebalan Iman~


Kekebalan Iman (Mana’ah Imaniyah)


Saat ini dunia sedang berkecamuk dan bergolak, baik di negara yang menolak Islam, begitu juga di negara yang majoritinya menganut Islam. Arus kerosakan dan kefasadan terus subur dan berleluasa. Hatta umat Islam sendiri teraba-raba mencari jalan penyelesaian yang sebenar dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian. Arus kerosakan itu menerjang dunia kehidupan bermula dengan dunia pendidkan dan keilmuan, ekonomi, politik, budaya dan kenegaraan. Benteng terakhir yang diharapkan iaitu institusi rumah tangga dan kekeluargaan turut di serang dan menjadi longlai dalam membangun modal insan yang dihajati oleh Islam.

Sedarilah wahai umat Islam, serangan bertali arus kerosakan dan kefasadan ke atas peribadi dan umat Islam telah diinformasikan oleh Allah swt dalam Al Quran:

Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur” (Al –A’raf: 17)

Islam yang hidup berbeza dengan ajaran yang mati, yang hanya dipenuhi dengan rutiniti dan tradisi. Kalau kita jujur dengan kehidupan, kita akan dapati hati kita terlalu banyak berkompromi antara kebenaran dengan kebatilan dan kejahilan. Sering kita mengiringi perbuatan baik dengan kemaksiatan. Bahkan ramai juga yang mengambil mudah dan remeh dengan kemaksiatan yang dilakukan.

Sedangkan Anas r.a pernah berkata kepada sahabat-sahabatnya:

Sesungguhnya kamu kini melakukan beberapa amal yang dalam pandangan kamu itu remwh, sehalus rambut, padahal perbuatan itu dahulunya di masa Nabi saw, kami anggap sebagai perbuatan yang merosak agama.” (Bukhari)

Diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda:

Syurga itu lebih dekat kepada salah satu dari kamu dari tali
sandalnya, demikian juga neraka.” (HR Bukhari)

Apa Upaya Kita Semua

Mungkihkan ada kefahaman, pemikiran, perbuatan, tindakan dan amalan yang tidak seiring dengan Islam selama ini telah melekat dalam kehidupan kita yang telah menyebabkan matinya keghirahan dan kemuliaan kita dengan islam, dengan kerja besar yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. dan para sahabat iaitu mendidik(tarbiyah) hati dan menghidupkan Islam dengan melaksanakan dakwah ilallah.
Menghidupkan Islam bererti membawa dan membumikan Islam yang syumul,damai, bahagia dan lengkap dengan keutuhan dan keaslian Islam itu sendiri. Bukan dengan pakej dan kefahaman yang lain. Islam yang bersih adalah Islam yang utuh, tidak diambil hanya sebahagian sahaja yang kita sukai, malahan mempertahankan Islam dengan penuh emosi, serius dan bersungguh.

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu.” (Al Baqarah: 208)

Sungguh, menghadapi semua serangan pemikiran jahiliah adalah dengan kita kembali kepada Islam yang sebenar. Allah swt menurunkan Islam dan Al Quran adalah untuk dimenangkan ke atas semua ideologi yang ada, baik ideologi barat, ideology syaitan, ideologi hawa nafsu mahupun ideologi ciptaan manusia yang sering diselaputi dan disilapmatakan dengan dalil-dalil ilmiah yang tidak keruan.

Syakhsiyah Muslimah

Hasan Al Hudaibi berkata:

Hidupkan Islam dalam dirimu, nescaya ia akan hidup dalam masyarakatmu.”

Masalahnya sekarang bagaimana kita mahu mengidentitikan Islam dengan diri kita. Rasulullah saw. bersabda,

Ibda’ bi nasfsika”, “Mulailah dari dirimu!”.

Tegakkan peribadi muslim (syakhsiyah muslimah) dalam diri kita merupakan benteng terkuat dalam menghadapi masalah yang muncul. Ini kerana membina syakhsiyah muslimah adalah bersumberkan kepada al Quran dan tarbiyah dari madrasah Rasulullah saw. Usahakan agar tidak ada satu pun ruang dan celah dalam hati, fikiran dan perilaku kita menjadi tempat bersarangnya kejahiliahan.

Imam Ali bin Abi Talib ada berkata:

Siang seperti singa dan malam seperti rahib-rahib yang kusyu’ beribadah kepada Rabb-nya.”

Peribadi muslim yang memiliki syakhsiyah muslimah adalah seorang yang melaksanakan ibadah dengan benar, dihiasi dengan akhlak yang muliadalam lisan dan perilakunya, memiliki kecintaan kepada ilmu-ilmu yang akan meninggikan darjat di sisi Islam serta mengisi waktunya dengan usaha menegakkan Islam walaupun untuk tujuan tersebut dia harus mengorbankan harta dan waktunya, diri dan keluarganya.

Mana’ah Imaniyah

Peribadi aktif seperti inilah yang memiliki bekal kekebalan iman (mana’ah imaniyah) sehingga tidak hanya mampu bertahan menghadapi segala serangan jahiliah dari musuh Islam, tetapi juga mampu menghancurkan dan melawan pengaruh jahiliah tersebut.
Kini, mahu atau tidak kita menerapkan sikap Islam itu. Al Quran suci ada di hadapan kita, sunnah Rasul yang mulia mampu kita pelajari dan ikuti, bahkan petunjuk para salafussolihin dan ulama’ muktabar juga boleh kita ikuti, persoalannya, bila hendak kita mulai langkah pertama menghampiri syurga Ilahi.

~DayusSSS~




ERTI DAYUS

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1)     Sabda Nabi : -
وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
 
2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)



BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Sekian 


~Dosa Umpat~



Dosa umpat kekal jika tak diampun mangsa

MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.
Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" .
Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.