Puncak Tertinggi Taubat


Berani Mengaku Kesalahan 


Berdasar sedikit pengalaman hidup, sebenarnya tidak mudah bagi kebanyakan orang untuk mengaku kesalahan yang dilakukan. Sama ada kesalahan itu dengan manusia atau kesalahan itu dengan Allah swt. Sebab itu antara akhlak terpuji yang diajar oleh seorang guru kepada muridnya atau seorang bapa terhadap anaknya ialah berani mengakui kesalahan.
Berani mengaku kesalahan mempunyai kedudukan yang mulia dalam Islam. Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku dengan dosanya kemudian bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya”. (hadis riwayat Bukhori, Muslim dan Ahmad).

Bahkan dalam hadis yg diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengenai “penghulu istighfar” terdapat lafaz pengakuan hamba kepada Allah swt mengenai dosa yang dilakukan dan kemudian barulah diikuti dengan memohon keampunan daripada Allah swt.

Oleh kerana mengakui kesalahan itu sukar, marilah kita mula berlatih mengakui kesalahan kita samada kesalahan dengan makhluk atau kesalahan dengan Allah swt. jika kesalahan dgn makhluk, ada dua keadaan:

1) Kesalahan berhubung dengan darah seperti mencederakan, atau berhubung denga harta seperti mencuri. Ia perlu diselesaikan dengan makhluk tersebut seperti memohon kemaafan dan memulangkan harta yang dicuri dengan cara yang paling bijaksana agar tidak menimbulkan kerosakan baru.

2) Kesalahan seperti mengumpat dan fitnah. Beberapa ulama seperti Imam Syafi’ie mensyaratkan supaya meminta maaf daripada orang yang diumpat atau difitnah. Namun Ibnu Qayyim mentarjih pandangan yang mengatakan tidak perlu minta maaf secara terus kepada orang yang diumpat atau difitnah kerana ditakuti akan menimbulkan kerosakan baru. (seperti putusnya silaturrahim).

Namun, si “pelaku kesalahan” perlu memperbaiki umpatan atau fitnah yang dilakukan dengan menceritakan kebaikan orang tersebut bagi menutup umpatan/fitnah yang telah dibuat, memohon istighfar untuk orang tersebut pada kadar dosa mengumpat/fitnah yang dilakukan dan melakukan kebaikan bagi pihak orang yg diumpat/fitnah, juga sebagai jalan untuk membersihkan kesalahannya. Selepas itu barulah disertai dengan taubat kepada Allah terhadap kesalahannya mengumpat/fitnah terhadap orang tersebut.

Dengan demikian hubungan si pelaku kesalahan dengan orang yg diumpat/fitnah kekal baik dan ini menepati maqasid syarak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan